KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem parkir pintar di negeri ini selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada penambahbaikan oleh syarikat pengendali.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diminta mengadakan rundingan semula bersama syarikat berkenaan.
Katanya, penangguhan ini bertujuan memastikan pelaksanaan sistem ini benar-benar selesa dan tidak menyusahkan rakyat.
“Antaranya, laluan masuk ke parkir pintar akan dikaji semula dan penggunaan aplikasi juga mungkin perlu diperbaiki.
“Tempoh penangguhan boleh disingkatkan sekiranya penambahbaikan dapat dilaksanakan lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra di sini, hari ini.
Sistem parkir pintar tersebut yang mula dikuatkuasakan secara rasmi pada 16 Jun lalu merupakan inisiatif MPK ke arah pendigitalan dan kemajuan infrastruktur bandar di Perlis.
Susulan keputusan itu, beliau memaklumkan bahawa pengguna tidak perlu membuat sebarang bayaran sepanjang tempoh penangguhan berlangsung.
Selain itu, lokasi pelaksanaan parkir juga akan diteliti semula termasuk isu pertindihan tanah serta kesesuaian kawasan.
“Kita tidak dapat penuhi semua kehendak pengguna, tetapi sekurang-kurangnya kita cuba ambil langkah lebih baik demi keselesaan rakyat negeri in,” katanya. – UTUSAN