SHAH ALAM: TimeTec Parking memperluas kemudahan parkir pintar dengan melancarkan 50 tapak parkir berpalang di seluruh negara yang menggunakan sistem tanpa tunai dan tanpa sentuh melalui eWallet Direct, hasil kerjasama dengan aplikasi FlexiParking.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Leading Innovative Technologies & Systems Sdn. Bhd. (LITS), Lai Thiam Sin berkata, pengembangan itu bermula sejak 1 September lalu dan dijangka meningkat melebihi 50 lokasi dalam tempoh enam bulan.
Menurutnya, integrasi eWallet Direct membolehkan pengguna hanya memandu masuk dan keluar dari kawasan parkir tanpa perlu mengimbas atau menekan sebarang butang, kerana caj akan ditolak secara automatik daripada aplikasi FlexiParking.
“Prosesnya amat mudah. Pengguna hanya tandakan pilihan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan (LPR) dalam aplikasi untuk kenderaan mereka dan terus menikmati pengalaman parkir automatik tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, aplikasi FlexiParking kini memiliki lebih lima juta pengguna berdaftar dengan nombor pendaftaran masing-masing dan pihaknya mahu memperluas kelebihan itu kepada parkir berpalang bagi memudahkan urusan harian pengguna bandar.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif TimeTec, Teh Hon Seng memberitahu, sistem itu dibangunkan menggunakan teknologi pengecaman nombor plat LPR yang kini mencapai ketepatan sehingga 99.97 peratus menjadikannya antara yang paling tepat di rantau ini.
“Integrasi bersama FlexiParking bukan sahaja memperluas capaian pengguna, malah memperkukuh rancangan menjadikan parkir sebagai pintu masuk digital kepada ekosistem bandar pintar kami.
“Pengguna menikmati keselesaan sepenuhnya, manakala pengendali parkir serta pemilik bangunan menerima manfaat kadar diskaun peniaga (MDR) yang lebih rendah dan pendapatan lebih stabil,” ujarnya.
Tambahnya, dengan pelaksanaan meluas eWallet Direct di lokasi parkir berpalang, sekurang-kurangnya 1,000 tapak parkir dijangka menggunakan sistem ini menjelang tahun depan.
Antara lokasi yang sudah beroperasi atau dalam proses pelaksanaan termasuk Hospital Serdang, Medan Agro Cameron Highlands, Kelana Park View, UTS Keramat Mall, KIPMall Bangi, KLoe Hotel, Pasar Sri Petaling, GoPark@KLIA dan Kuchai Exchange. – UTUSAN










