Pantai Barat Semenanjung dilanda jerebu rentas sempadan

Pantai Barat Semenanjung dilanda jerebu rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dilanda jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, berdasarkan pencerapan imej satelit NOAA-20 bertarikh 18 Julai 2025 yang dianalisis oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), sebanyak 79 titik panas dikesan di kawasan Sumatera.

“Kehadiran titik panas itu berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu yang dibawa oleh tiupan angin barat daya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hisham berkata, MET Malaysia tidak menjangkakan sebarang hujan atau perubahan arah tiupan angin yang mampu mengurangkan kesan jerebu dalam tempoh beberapa hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan jerebu dan meningkatkan pencemaran udara.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia atau menghubungi talian Hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah Port Dickson, Negeri Sembilan mencatatkan paras tidak sihat (117) setakat 2 petang ini.

Selain itu, sebanyak 61 kawasan membabitkan 13 negeri seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana (51-100), manakala empat kawasan merekodkan bacaan baik (0-50).

Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya tujuh hektar tanah musnah dalam kejadian kebakaran hutan di Pulau Sumatera, Indonesia hujung minggu lalu dengan insiden dilaporkan di wilayah Sumatera Barat dan Aceh, menurut agensi bencana negara, Isnin lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Tempatan (BPBD) negara itu turut memaklumkan, satu kebakaran berlaku di daerah Lima Puluh Kota, Sumatera Barat pada Ahad di Jorong Sarasah Tanggo, Nagari Sarilamak, kecamatan Harau, membakar kira-kira empat hektar tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×