NEW JERSEY: Pemain tengah Chelsea, Cole Palmer menjadi watak utama ketika membantu pasukannya menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 dalam final Piala Dunia Kelab di Stadium MetLige, hari ini.
PSG merupakan pilihan utama untuk memenangi perlawanan yang turut dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selepas mereka masih segar dengan kejayaan merangkul trofi Liga Juara-Juara baru-baru ini.
Palmer membuka jaringan pada pertengahan babak pertama dan menambah gol kedua pada minit ke-30, sebelum mengambil kesempatan daripada kelekaan pertahanan PSG untuk memberikan umpanan kepada Joao Pedro yang menjaringkan gol ketiga pada minit ke-43.
Malang terus menyelebungi PSG apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Joao Neves dilayangkan kad merah empat minit sebelum tamat setelah menarik rambut Marc Cucurella.
Chelsea yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai sekitar AS$125 juta (RM531 juta).
Bagi PSG pula, ganjaran kewangan mungkin hampir sama, namun pasti ada kekecewaan besar kerana gagal menambah kejuaraan ini kepada trofi Liga Juara-Juara, liga domestik dan Piala Perancis yang telah mereka menangi. – AFP