MONTREAL: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka membuka lembaran baharu dengan melantik Tomasz Wiktorowski sebagai jurulatih percubaan selepas berpisah dengan Patrick Mouratoglou.
Perpisahan dengan Mouratoglou diumumkan menerusi media sosial hanya beberapa jam sebelum Osaka membelasah wakil tuan rumah, Ariana Arseneault 6-4, 6-2 pada pusingan pertama Terbuka Kanada, semalam.
Osaka yang kini di ranking ke-49 dunia terus berlatih bersama Wiktorowski di Montreal, jurulatih berpengalaman yang pernah membimbing Agnieszka Radwanska ke final Wimbledon dan tangga kedua dunia.
Wiktorowski juga pernah membentuk kerjaya sensasi Iga Swiatek, membantunya memenangi empat Grand Slam sepanjang tempoh 2021 hingga Oktober lalu.
Osaka yang kini berusia 27 tahun dijadual berdepan pilihan ke-13, Liudmila Samsonova di pusingan kedua malam ini, dengan keputusan pertemuan sebelum ini terikat 2-2 namun Osaka menang dua kali di gelanggang keras.
“Terima kasih Patrick, pengalaman bersamamu amat berharga, kau antara manusia paling santai yang aku kenal,” kata Osaka.
Mouratoglou turut membalas dengan ucapan penuh penghargaan dan berjanji akan sentiasa menyokong Osaka walaupun hubungan profesional mereka sudah berakhir.
Di bawah bimbingan Mouratoglou, Osaka mara ke final di Auckland awal tahun ini namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan abdomen.
Dia kemudian tewas awal di Terbuka Perancis dan hanya mara ke pusingan ketiga Wimbledon, tetapi sempat menamatkan kemarau kejuaraan dengan menjuarai L’Open 35 de Saint Malo pada Mei. – AGENSI