Op tali pinggang keledar: Penumpang bas Selangor patuh arahan

Op tali pinggang keledar: Penumpang bas Selangor patuh arahan

AZRIN Borhan ketika meninjau pemeriksaan Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (arah utara). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Pematuhan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang bas ekspres dan persiaran di Selangor memberangsangkan apabila tiada saman dikeluarkan kepada penumpang atau pemandu bas setakat ini.

Ia terbukti hasil pemeriksaan menerusi Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sejak semalam.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, sejak semalam, pihaknya telah memeriksa 56 buah bas termasuk persiaran dan ekspres dan kesemua penumpang mematuhi peraturan ditetapkan itu.

Beliau berkata, bagi memastikan peraturan itu terus dipatuhi, pihaknya akan melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi memastikan arahan itu terus dipatuhi.

“Pegawai penguat kuasa kami akan
menjalankan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang dan pemandu.

“Sehubungan itu, JPJ Selangor menyeru kepada semua pengusaha bas dan pemandu untuk memastikan semua kemudahan tali pinggang keledar berada dalam keadaan baik dan berfungsi.

“Malah, penumpang juga perlu sentiasa mengingatkan penumpang untuk sentiasa memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pematuhan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (arah utara) di sini pagi ini.

Katanya, pada operasi itu, sebanyak lima buah bas diperiksa dan kesemua penumpang mematuhi peraturan itu manakala, tali pinggang keledar juga berfungsi dengan baik.

Azrin berkata, bermula 1 Julai lalu, pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang bas adalah diwajibkan di bawah mengikut Kaedah 2A (b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar Dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978.

Menurutnya, peruntukan itu mewajibkan tempat duduk belakang bas, kecuali bas henti-henti, yang dibina pada atau selepas 1 Januari 2020 hendaklah dipasang dengan tali pinggang keledar mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kaedah 4A (1), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang eledar) (Pindaan) 2008 pula mewajibkan semua penumpang yang
duduk di tempat duduk yang dilengkapi tali pinggang keledar untuk memakainya,” katanya.

Katanya, mana-mana orang yang melanggar kaedah ini melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan bagi sabitan kedua pula, boleh denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Jelasnya lagi, jika didapati tali pinggang keledar berdepan kerosakan, pengusaha bas dikehendaki membuat pembiakan segera selain turut diberikan notis amaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN