SINGAPURA: Jaguh Olimpik Australia, Mollie O’Callaghan terus mengorak langkah cemerlang apabila mara ke separuh akhir 200 meter (m) gaya bebas di Kejohanan Dunia Akuatik, hari ini.
Perenang berusia 21 tahun itu mencatat masa 1 minit 57.04 saat (s), ketiga terpantas dalam saringan di belakang Erika Fairweather dari New Zealand (1:56.54s) dan Erin Gemmell dari Amerika Syarikat (AS) (1:56.74s).
O’Callaghan yang pernah memegang rekod dunia dan kini memiliki sembilan gelaran dunia, tidak memberikan sebarang kenyataan selepas tamat perlumbaan di Singapura.
“Saya rasa tiada apa yang lebih sukar daripada ini, datang ke sini dan cuba berlumba serta mempertahankan status Olimpik saya,” katanya dalam sesi temu bual di Adelaide, Australia Jun lalu.
Beliau sebelum ini mendedahkan tekanan luar biasa selepas Sukan Olimpik Paris, terutamanya selepas rekod dunianya dalam acara 200m gaya bebas dipintas rakan senegara, Ariarne Titmus.
Namun, O’Callaghan bangkit mempamerkan keunggulan di Paris apabila menewaskan Titmus untuk merangkul emas dan membantu Australia menang emas dalam 4×100m serta 4×200m gaya bebas.
Titmus kini berehat sepanjang musim dan tidak bertanding di Singapura, menjadikan O’Callaghan pilihan utama untuk mengungguli acara 100m dan 200m gaya bebas.
Turut mencuri tumpuan, juara Olimpik Ireland, Daniel Wiffen, layak ke final 800m gaya bebas manakala jaguh China, Qin Haiyang dan legenda AS, Katie Ledecky masing-masing terus cemerlang dalam misi buru emas dunia. – AGENSI