RAWANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa agar ruang dan masa diberikan kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen bagi membawa perubahan susulan aksi hambar sektor itu pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 baru-baru ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau percaya sokongan yang diperlukan bagi memperbaiki perseorangan negara telah disalurkan sewajarnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Jonassen.
“Sudah tentu, jurulatih baru saja sampai, belum lagi panas badan untuk nak menilai kerja mereka. Jadi, saya rasa berikan masa kepada jurulatih baru untuk mereka melihat dan untuk melahirkan juara kerana ia bukan boleh dilakukan dalam satu atau dua bulan.
“Saya percaya sokongan paling baik adalah melalui BAM di Malaysia kerana KBS banyak menyokong usaha mereka untuk memberikan infrastruktur terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 ASEAN di Templer Park Country Club di sini hari ini.
Kelmarin, legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei membuat kenyataan bahawa Jonassen wajar diberikan masa secukupnya bagi membawa perubahan dalam skuad perseorangan kebangsaan.
Terdahulu, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng melahirkan kerisauan Malaysia berisiko berdepan krisis dalam acara perseorangan jika tiada tindakan segera diambil terhadap kerapuhan dalam sistem pembangunan pemain remaja negara.
Amaran tegas itu disuarakan Tat Meng, selepas dia menyaksikan sendiri prestasi longlai skuad muda negara di BAJC 2025 yang menutup tirainya, pada 27 Julai lalu dengan menyaksikan wakil perseorangan lelaki dan wanita semuanya tersingkir di pusingan awal. – UTUSAN