LAVAL: Jonathan Milan menamatkan penantian enam tahun pelumba Itali apabila memenangi peringkat kelapan Tour de France menerusi pecutan beramai-ramai, awal pagi tadi.
Pelumba pasukan Lidl-Trek itu mengatasi Wout van Aert dan Kaden Groves untuk menjadi pelumba pertama dari negaranya merangkul kemenangan peringkat sejak Vincenzo Nibali pada 2019.
“Ia amat bermakna buat saya dan juga negara saya. Saya berada di posisi sempurna untuk meraih kemenangan ini dan akan cuba menang sekali lagi esok,” kata Milan.
Tiada perubahan berlaku dalam kedudukan keseluruhan apabila Tadej Pogacar kekal menyarung jersi kuning pendahulu, manakala Remco Evenepoel dan Kevin Vauquelin terus berada dalam kelompok tiga teratas.
Pogacar menyifatkan peringkat kelapan yang lebih santai memberi ruang kepadanya serta pelumba lain untuk menyimpan tenaga menjelang pendakian mencabar Isnin ini.
“Ia hari yang agak tenang, tidak perlu terlalu menekan dalam panas terik sepanjang hari,” kata Pogacar.
Usaha dua pelumba tuan rumah, Mathieu Burgaudeau dan Matteo Vercher mencuri tumpuan apabila melakukan breakaway sejauh 70 kilometer sebelum dikejar semula menjelang garisan penamat.
Bagaimanapun, nasib malang menimpa Paul Penhoet dari pasukan Groupama-FDJ apabila tayarnya pancit tujuh kilometer sebelum penamat dan gagal menyertai pecutan terakhir. – AGENSI