MGF idam kejutan di Sukan SEA 2025

MGF idam kejutan di Sukan SEA 2025

BARISAN kepimpinan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) pada sidang akhbar yang diadakan di Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bersedia untuk melakar kejutan dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

Pengerusi Teknikal Gimnastik Artistik, Mohd Faiz Mohd Ameer berkata, MGF optimis dengan kemampuan atlet yang disenaraikan, walaupun format pertandingan kali ini memberi kelebihan kepada tuan rumah kerana hanya melibatkan acara individu.

“Kita tahu negara penganjur akan ambil peluang ini untuk tentukan acara mana yang akan beri kelebihan kepada mereka.

“Tetapi dari segi persediaan, kita berada pada landasan yang baik. Semua atlet telah melalui proses penilaian teknikal dan ujian kelayakan,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Tambah Faiz, tumpuan kini diberikan kepada kelompok kecil atlet yang melepasi penanda aras ditetapkan, di mana hanya mereka yang benar-benar berpotensi menyumbang pingat akan dibawa ke Thailand.

Beliau juga menegaskan hanya tujuh atlet terdiri dari tiga wanita dan empat lelaki akan beraksi pada temasya di Thailand itu dan pemilihan dibuat berdasarkan corak persembahan yang melepasi had kelayakan merit.

Bagaimanapun, Sharul Aimy pula masih dalam kecederaaan, namun dijangka pulih sebelum tarikh akhir kelayakan ke temasya dwitahunan itu.

Sasaran keseluruhan pasukan hanya akan diketahui setelah berbincang dengan jurulatih dan mereka sememangnya mendambakan keputusan lebih baik dari kempen lalu di Kemboja 2023 apabila kem negara membawa pulang lima pingat gangsa.

“Ada beberapa lagi kejohanan untuk melepasi penanda aras. Ada beberapa atlet juga sedang melalui fasa pemulihan daripada kecederaan.

“Penanda aras kita tinggi. Kita hanya pilih atlet yang mampu menyaingi peserta dari negara-negara kuasa besar. Kita yakin dengan strategi yang dirancang oleh barisan jurulatih dan jawatankuasa teknikal.

“Sasaran spesifik belum diumumkan, tetapi persiapan menyeluruh sedang berjalan. Kita harap dapat membuat kejutan di sana nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN