MIAMI: Lionel Messi meneruskan prestasi luar biasa dalam saingan Major League Soccer (MLS) apabila meledak dua gol sekali lagi untuk membantu Inter Miami menewaskan Nashville 2-1, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Messi kini menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan berturut-turut, menjadikan rekod peribadinya kepada 16 gol dalam 16 penampilan musim ini.
Messi membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma kaki kiri yang menembusi celah benteng pertahanan Nashville seawal minit ke-17 sebelum menambah gol kedua pada minit ke-62 hasil kesilapan penjaga gol lawan.
Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano, menyifatkan Messi sebagai tonggak utama yang menjadi penanda aras kepada daya saing pasukan dalam setiap perlawanan.
“Dia bukan sahaja pencetus semangat pasukan, malah menjadi penanda aras kepada cara kami beraksi dan bersaing.
“Sebagai jurulatih, saya sangat bersyukur kerana dapat mengiringi fasa kerjayanya yang masih hebat pada usia 38 tahun,” kata Mascherano.
Miami ketika ini berada di tangga kelima Persidangan Timur dengan 38 mata hasil 19 perlawanan, lima mata di belakang pendahulu, Philadelphia namun masih mempunyai tiga perlawanan dalam tangan.
Jadual padat menanti Messi dan rakan-rakan dengan aksi menentang Cincinnati pada Rabu sebelum bertemu New York Red Bulls hujung minggu ini.
Mascherano memberi bayangan pemain terbaik dunia lapan kali itu mungkin akan direhatkan tidak lama lagi demi mengekalkan prestasi optimum pasukan sepanjang musim. – AGENSI