SINGAPURA: Summer McIntosh meraih pingat emas dunia keduanya apabila menjuarai acara rampaian 200 meter (m) Kejohanan Akuatik Dunia 2025 manakala prodigi berusia 12 tahun dari China, Yu Zidi menduduki tempat keempat, semalam.
Atlet Kanada berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan dalam masa dua minit 06.69 saat, diikuti Alex Walsh dari Amerika Syarikat di tempat kedua (2:08.58) dan rakan senegaranya, Mary-Sophie Harvey, di tempat ketiga (2:09.15).
Yu dari China hampir memenangi pingat dengan catatan masa 2:09.21s dan merupakan peserta terpantas dari blok permulaan dan berada di tempat ketiga sebelum prestasinya sedikit menurun di penghujung perlumbaan.
McIntosh telah memenangi acara 400m gaya bebas pada hari pembukaan kejohanan, Ahad lalu dan kini berada di landasan untuk menyamai legenda renang Michael Phelps sebagai satu-satunya perenang yang memenangi lima gelaran individu dalam satu kejohanan dunia.
“Apabila masuk ke perlumbaan malam ini, matlamat saya hanyalah untuk menyentuh dinding dahulu, jadi dapat melakukannya adalah satu pencapaian yang baik,” kata McIntosh.
“Saya tidak terlalu gembira dengan masa itu, tetapi secara jujur, di kejohanan dunia, matlamat saya adalah untuk berenang secepat mungkin.
“Masih gembira dengan pingat emas ini dan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan saya.”
Juara Olimpik dan pemegang rekod dunia itu memasuki acara 200m medley sebagai pilihan utama.
Remaja itu telah memecahkan rekod dunia milik Katinka Hosszu dari Hungary yang berusia sedekad pada ujian kelayakan Kanada pada bulan Jun, dengan catatan masa luar biasa 2:05.70.
Pada ujian kelayakan yang sama, beliau turut memperbaharui rekod dunianya sendiri dalam acara rampaian 400m menjadikannya rekod dunia ketiganya dalam beberapa hari. – AFP