PETALING JAYA: Aksi menentang Indonesia malam ini bakal menjadi penentu buat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dalam kempen Piala ASEAN B-23 2025.
Hanya kemenangan besar ke atas tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno mampu menyelamatkan anak-anak buah Nafuzi Zain daripada pulang awal.
Selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-0 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Malaysia tidak mempunyai pilihan lain selain meraih kemenangan dengan sekurang-kurangnya tiga gol tanpa balas ke atas Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, malam ini.
Kiraan ‘matematik’ jelas menunjukkan menang sahaja tidak cukup tetapi jumlah jaringan besar diperlukan tanpa dibolosi, selain mengharapkan Filipina tidak mencatat kemenangan besar ke atas Brunei dalam satu lagi aksi kumpulan tersebut.
Bagaimanapun tugas itu bukan mudah kerana Indonesia tampil sebagai pasukan pilihan di hadapan ribuan penyokong sendiri dan turut memperlihatkan prestasi memberangsangkan apabila membenam Brunei 8-0 manakala Malaysia mencatat keputusan 7-1 ke atas lawan sama.
Lebih membimbangkan, skuad B-23 negara masih bergelut mencari rentak dan keseimbangan permainan, dengan kelemahan di bahagian pertahanan apabila dibolosi Brunei, namun Nafuzi boleh menarik nafas lega dengan ketajaman jentera serangan yang dilihat positif.
Kekuatan mental dan sejauh mana pasukan muda negara mampu menyerap tekanan serta memanfaatkan peluang sebaik mungkin menjadi penentu sama ada terus bersaing atau pulang ke tanah air.
Jika berjaya melakar kemenangan besar, ia bakal dikenang sebagai satu kebangkitan luar biasa namun kalau sebaliknya, Malaysia sekali lagi akan pulang awal dan ia satu senario yang pastinya mengecewakan ramai pihak.
Mara atau pulang awal, kini semuanya terletak di tangan para pemain muda negara.-UTUSAN