PETALING JAYA: Harapan skuad hoki remaja lelaki negara ke final Piala Asia Bawah 18 tahun (B-18) musnah selepas tunduk kepada Pakistan 3-4 menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan di Stadium Sultan Qaboos, hari ini.
Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam tempoh 10 minit pertama untuk mengikat kedudukan 3-3 hasil ledakan hatrik pukulan sudut penalti oleh Muhammad Safwan Salihe.
Pakistan tampak garang apabila menjaringkan dua gol awal menerusi Abdullah Awan (minit ke-5) dan Hassan Shahbaz (8’) hasil pukulan sudut penalti yang kemas.
Safwan membuka kebangkitan Malaysia dengan gol pertama pada minit ke-10, sebelum menyamakan kedudukan lapan minit kemudian dan meledak satu lagi pada minit ke-28 untuk mendahului 3-2.
Namun, Pakistan kembali menyamakan kedudukan pada suku ketiga menerusi jaringan padang Hassan Shahbaz pada minit ke-40 yang mengheret permainan ke penentuan penalti.
Dalam penentuan mendebarkan itu, hanya Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Harieq Hadief Mohd Fariq berjaya menyempurnakan penalti untuk Malaysia.
Pakistan pula lebih tenang apabila Muhammad Shaheer, Zubair Latif, Abdullah Awan dan Ali Hamza tidak mensia-siakan peluang untuk membawa mereka ke final menentang Jepun.
Malaysia bakal membuat perhitungan dengan Bangladesh dalam perebutan tempat ketiga pada Ahad ini, manakala aksi final antara Pakistan dan Jepun juga pada hari yang sama. – UTUSAN