WELLINGTON, NEW ZEALAND: Malaysia akan mencetak Al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Maori untuk diagihkan kepada kira-kira 1,200 masyarakat Maori yang kini sudah memeluk Islam di New Zealand.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam pertemuannya bersama Federation of Islamic Associations of New Zealand (FIANZ) baru-baru ini, pihaknya menyumbangkan 50 naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris dan 50 sejadah bagi memenuhi keperluan dakwah di negara tersebut.
Katanya, dalam pertemuan sama, terdapat permintaan untuk Malaysia menyumbangkan Al-Quran dengan terjemahan bahasa Maori untuk tujuan dakwah kepada masyarakat pribumi itu di tanah Kiwi berkenaan.
“Saya telah mendapat permintaan daripada mereka untuk Malaysia menyumbangkan mashaf Al-Quran di dalam terjemahan bahasa Maori dan saya telah menghubungi Yayasan Restu supaya ia dapat dicetak dan kita mendapatkan pendanaan bukan daripada kerajaan tetapi individu.
“Ia kerana setakat ini seramai 1,200 orang Maori memeluk Islam dengan 96 masjid di seluruh New Zealand,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mengikut kemampuan untuk membantu masyarakat Islam di New Zealand dalam mengembangkan syiar Islam.
“Ia akan membantu mereka untuk melahirkan lebih ramai daie atau pendakwaah dari New Zealand agar dapat berkongsi pengalaman dan ilmu termasuk kepada Malaysia,” katanya.
Katanya, dalam kunjungan lima hari ke Auckland, Rotorua dan Wellington, Ahmad Zahid menyumbang 50 naskhah Al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan 50 helai sejadah kepada FIANZ sebagai permulaan menyokong dakwah Islam di tanah Kiwi itu.
Beliau turut menekankan komitmen Malaysia membantu mengembangkan syiar Islam di New Zealand mengikut kemampuan sedia ada, khususnya dalam melahirkan pendakwah tempatan bagi memperkukuh kefahaman Islam secara inklusif.
“Ia akan membantu mereka untuk melahirkan lebih ramai daie atau pendakwah dari New Zealand agar dapat berkongsi pengalaman dan ilmu termasuk kepada Malaysia,” katanya.
FIANZ kini aktif melaksanakan pelbagai program dakwah, pendidikan dan pembangunan belia. Menariknya, semua usaha itu dibiayai sepenuhnya menerusi pendapatan daripada pensijilan halal.
Ia turut mewujudkan Wellington Islamic Centre sebagai pusat nasional untuk keamanan dan dialog antara agama, selari dengan pendekatan dakwah harmoni yang diterapkan oleh komuniti Islam di negara tersebut.
Langkah itu mencerminkan keupayaan Islam sebagai agama yang menyatukan pelbagai kaum dalam suasana saling menghormati dan bekerjasama. – UTUSAN