MALAGA: Bandar Malaga menarik diri daripada menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 yang akan diadakan di Sepanyol bersama dua lagi negara iaitu Portugal dan Maghribi.
Sepanyol mencadangkan 11 stadium untuk digunakan termasuk La Rosaleda yang terletak di Malaga.
Namun, Datuk Bandar Malaga, Francisco de la Torre berkata, menjadi tuan rumah perlawanan boleh menyebabkan masalah kepada kelab bola sepak bandar itu dan penyokongnya disebabkan kerja-kerja pembinaan semula yang diperlukan di stadium tersebut.
“Memilih antara Piala Dunia dan kelab, kami memilih kelab dan penyokong. Selepas beberapa mesyuarat… kami percaya bahawa perkara yang paling bertanggungjawab, berhemah dan masuk akal untuk dilakukan hari ini adalah untuk menarik diri daripada menjadi tuan rumah Piala Dunia.
“Jika Piala Dunia merupakan satu risiko kepada kelab dan satu masalah kepada penyokong, maka tidak berbaloi untuk meneruskannya,” kata De la Torre selepas mesyuarat dengan majlis bandar Malaga dan kerajaan wilayah Andalusia.
Malaga akan terpaksa bermain di stadium alternatif dengan kapasiti 12,500 penonton semasa kerja-kerja pembinaan semula di La Rosaleda dijalankan, sedangkan mereka kini mempunyai lebih daripada 26,000 pemegang tiket musim.
Kerja-kerja itu dianggarkan menelan belanja sebanyak 270 juta euro (RM1.3 bilion) tetapi De la Torre menegaskan bahawa keputusan itu bukan dibuat untuk menjimatkan kos.
“Kami mahu ada sebuah stadium baharu. Ia bukan untuk Piala Dunia tetapi ia akan dibina, itu adalah komitmen yang kukuh. Kami bukan melakukan ini untuk menjimatkan wang tetapi kerana ia yang terbaik untuk bandar, penyokong dan kelab,” katanya. – AFP