Majoriti pelajar IPT berusia 18-19 tahun positif HIV tahun lalu 

Majoriti pelajar IPT berusia 18-19 tahun positif HIV tahun lalu 

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majoriti pelajar berusia antara 18 dan 19 tahun adalah antara 222 kes baharu HIV pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, seramai 1,091 pelajar IPT direkodkan menghidap HIV bagi tempoh 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu direkodkan tahun lalu.

Beliau berkata, majoriti kes membabitkan remaja usia 18 dan 19 tahun sekali gus menunjukkan pendedahan awal terhadap aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Peningkatan kes dalam kalangan pelajar IPT adalah petanda jelas bahawa intervensi lebih agresif perlu dilaksanakan termasuk mempertimbangkan strategi pengurangan kemudaratan (‘harm reduction’) yang disesuaikan untuk golongan belia.

“Antara langkah awal yang diperkenalkan ialah penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang merupakan alat pencegahan HIV dan kajian menunjukkan bahawa PrEP boleh mengurangkan risiko jangkitan apabila diambil secara konsisten,” katanya pada sidang media Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah beliau, KKM berdepan cabaran besar untuk menyediakan akses ujian saringan kendiri kepada remaja di bawah umur.

“Apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada ujian kendiri bagi remaja-remaja di bawah umur, di mana kita tidak mempunyai satu perundangan khusus.

“Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan. Ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Sektor HIV/STI/HeP C Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Fazidah Yuswan berkata, 36 peratus ataupun 29,941 penghidap HIV masih belum dikesan.

Katanya lagi, KKM terus mempergiatkan aktiviti pengesanan dalam komuniti, khususnya dalam kalangan populasi berisiko bagi mengenal pasti individu yang hidup dengan HIV di negara ini.

“Sebagai antara pendekatan mesra komuniti, kaedah ujian kendiri HIV (HIV self-test) turut diperkenalkan untuk memberi pilihan kepada individu yang masih berasa takut atau enggan tampil ke fasiliti.

“Mereka boleh mendapatkan kit ujian kendiri HIV melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Aids Malaysia atau farmasi komuniti.

“Dalam kit itu, disertakan panduan di mana mereka akan diminta untuk membuat penilaian risiko dan langkah susulan untuk memastikan mereka tidak dijangkiti HIV atau menjangkiti orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN