Lewat solat Isyak
SOALAN
Saya selalu kerja syif malam tetapi masalah balik kerja lewat menyebabkan saya terlepas solat Isyak atau lewat.
Saya hendak minta pendapat ustaz apa cara supaya saya boleh solat Isyak. Bilakah sebenarnya waktu sesuai solat Isyak. Bolehkah dilakukan sebelum azan Subuh?
-Fariz
Alor Setar
JAWAPAN
Sekiranya tuan masih solat dalam waktu belum masuk azan Subuh, solat anda masih sahih dan tidak berdosa selagi tidak masuk waktu haram. Berusaha lagi untuk berdisiplin dalam solat semasa kerja syif malam itu apabila ada waktu terluang.
Pramugari risau status kerja
SOALAN
Apakah pilihan saya yang bekerja sebagai pramugari yang tidak digalakkan memakai tudung dan perlu mengangkat pelbagai sajian untuk penumpang?
-Suzana
Keliru
JAWAPAN
Dalam isu ini pihak berkuasa perlu memberi ruang kepada pramugari menutup aurat mereka sebagai konsep kebebasan kepada wanita dan banyakkan sedekah agar Allah Taala mengampunkan kekurangan dan kesalahan.
Bimbang tentang pelaburan emas
SOALAN
Sekarang ada banyak tawaran melabur dalam emas. Cuma saya tidak berani melabur. Apakah syarat pelaburan emas yang dibenarkan Islam?
-Abdul Jalil
Kajang
JAWAPAN
Secara ringkasnya, pelaburan emas yang berasaskan kontrak patuh syariah adalah diharuskan. Pastikan pelaburan itu dijalankan oleh badan berautoriti dan mempunyai penasihat syariah yang bertauliah.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]