KLUANG: Seorang lelaki dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan kelucahan melampau di hadapan seorang wanita, minggu lalu.
Ishak Abdul Hamid, 54, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Kluang, Mustaqim Sukarno, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan onani di tempat awam, iaitu di hadapan seorang wanita berusia 22 tahun di tepi Jalan Lada Hitam, Kluang pada pukul 4.40 petang, 16 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun, jika sabit kesalahan.
Ishak yang juga seorang duda kematian isteri dan hidup sebatang kara serta tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan kerana pernah mengalami penyakit angin ahmar.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada umum dan mengambil kira faktor kepentingan awam. – UTUSAN










