WELLINGTON, NEW ZEALAND: Lawatan kerja selama lima hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke New Zealand bukanlah untuk ‘makan angin’ sebaliknya bagi menimba ilmu dan pengalaman serta menerokai peluang dalam bidang baharu di negara Oceania tersebut.
Enggan melayan pandangan sinis sesetengah pihak, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau akan terus fokus terhadap tanggungjawabnya terhadap negara.
Beliau berkata, sindiran adalah makanan orang politik, mana-mana lawatan kerja oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri bahkan Menteri pasti ada cakap-cakap sinis namun ia tidak perlu dilayan.
“Kalau yang baik tanyalah kawan, kalau yang tak baik tanyalah musuh. Musuh ini orang yang tak sukakan kita, apa pun perkara baik hang dibuat tetap tidak baik (pada mereka).
“Apa yang penting dalam lawatan kerja, lawatan rasmi adalah menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang-bidang baharu yang tidak ada di negara kita dan boleh diterokai.
“Jangan angkuh, jangan sombong, jangan ujub, sikap begitu tidak baik terutamanya sindiran itu datang dari mereka yang berlatarbelakangkan agama yang kononnya sangat menebal,” katanya pada sidang akhbar rangkuman lawatan kerja selama lima hari ke New Zealand, di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki serta Setiausaha Bahagian Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Ocenia Kementerian Luar, John K. Samuel.
Merangkumkan hasil lawatan kerjanya selama lima hari ke negara Oceania itu, Ahmad Zahid berkata banyak kerjasama strategik terjalin merangkumi pemerkasaan hak dan kebajikan Orang Asli, pembangunan industri halal, pendidikan, pertanian, perdagangan serta pengurusan bencana.
Beliau turut memaklumkan New Zealand menyatakan persetujuan untuk menyertai Majlis Halal-ASEAN sebagai ahli bersekutu, sekiranya ada jemputan dari Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata New Zealand berminat untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai pempamer pada September ini.
Katanya antara permintaan lain dari New Zealand adalah mahu Malaysia meningkatkan eksport nanas untuk mengisi kesenjangan pasaran negara itu, justeru beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, termasuk mengarahkan EXCO bertanggungjawab dari kerajaan Selangor, Pahang, Johor dan Melaka untuk memperluaskan penanaman buah-buahan tropika itu. – UTUSAN