PETALING JAYA: Misi beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk merangkul kejuaraan sejak Terbuka Korea 2024 terus tertangguh selepas terkandas di suku akhir Terbuka China, sebentar tadi.
Pasangan No. 4 dunia itu dikejutkan gandingan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 19-21, 15-21 dalam pertarungan selama 43 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Kekalahan itu memadam rekod cemerlang dua kemenangan ke atas lawan sama sebelum ini di Terbuka Hong Kong dan China Masters tahun lalu.
Sebaliknya, gandingan No. 9 dunia dari China itu mencipta kemenangan pertama mereka ke atas Tang Jie-Ee Wei dalam tiga pertemuan setakat ini.
Xin Wa-Fang Hui seterusnya akan menentang gandingan No.1 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja di separuh akhir esok.
Ini merupakan kali pertama Tang Jie-Ee Wei kembali ke pentas suku akhir Terbuka China sejak tewas di separuh akhir kepada pasangan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue pada edisi 2023.
Pasangan negara itu sebelum ini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia dan Jepun selepas digandingkan semula bermula Terbuka Singapura, Jun lalu.
Mereka kini akan meneruskan kempen ke Terbuka Macau minggu depan dan bakal membuka tirai menentang pasangan tuan rumah, Leong Lok Chong-Ng Wei Chi. – UTUSAN