Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh kerjasama antara negara-negara serantau dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
Sistem pendidikan yang terus berkembang selari keperluan semasa serta institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berkualiti sehingga mendapat penarafan antarabangsa, menjadi faktor utama pelajar-pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan.
Sebagai usaha merealisasikan misi itu, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah mengadakan lawatan kerjanya ke Indonesia selama dua hari bermula 11 Julai lalu.
Indonesia merupakan antara negara yang tertinggi menghantar pelajarnya menyambung pengajian di negara ini iaitu seramai 11,293 orang (hingga Mac 2025).
Sepanjang lawatan tersebut, beliau menghadiri beberapa program, mesyuarat dan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya yang telah membuka ruang luas serta peluang baharu kepada kerjasama dua hala antara negara tetangga ini.
Antara bidang kerjasama yang dipersetujui untuk diperkukuhkan termasuklah penyelidikan dan mobiiti pensyarah serta pelajar dalam bidang-bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa.
Kerjasama antara IPT juga turut menjadi fokus merangkumi pendidikan tinggi yang telah terjalin.
Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 464 perjanjian kerjasama antara IPT tempatan dan Indonesia dibuat termasuklah antaranya mobiliti pelajar dan pengajar untuk menjalani program pembangunan kapasiti.
Penawaran biasiswa kepada pelajar antarabangsa (Malaysia International Scholarship) yang ingin melanjutkan pengajian di IPT tempatan turut ditawarkan dan sehingga Disember tahun lalu, seramai 21 pelajar warga Indonesia telah menerima manfaat tersebut
Education Malaysia Global Services (EMGS), sebuah agensi di bawah KPT memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan pendidikan tinggi negara, terus mempergiat usaha promosi dan pemasarannya.
Turut diadakan adalah program MEGA Ayo Kuliah di Malaysia 2025 di Jakarta dengan penyertaan 21 IPT tempatan. Anesee dalam ucapannya mengalu-alukan lebih ramai pelajar Indonesia ke Malaysia dan menjelaskan beberapa inisiatif signifikan seperti Graduate Pass iaitu kemudahan visa selama setahun selepas tamat pengajian yang telah dilancarkan semasa Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi Jun lalu. – UTUSAN