KPM iktiraf Larian Kidslympic Malaysia

KPM iktiraf Larian Kidslympic Malaysia

Duta Kidslympic Goh Liu Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Kidslympic, Lim Kien Wei bergambar dengan pemenang. - Ihsan Kidslympic Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pengiktirafan kepada Larian Kidslympic Malaysia Kuala Lumpur 2025 yang disertai lebih 1,000 kanak-kanak pada 22 Jun lalu.

Melalui pengiktirafan ini, semua pelajar yang menyertai acara tersebut layak menerima Markah Kokurikulum di bawah sistem PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum), iaitu sistem pentaksiran standard yang dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah.

Tujuan PAJSK adalah memastikan penilaian yang adil dan konsisten terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti bukan akademik, yang penting untuk pembangunan holistik dan kemasukan ke universiti.

Ia menyumbang sebanyak 10 peratus mata merit untuk kemasukan ke universiti awam Malaysia dan membantu dalam permohonan ke sekolah berasrama penuh bertaraf elit.

Dalam surat bertarikh 7 Julai 2025 yang dialamatkan kepada penganjur Kidslympic Malaysia, KPM mengesahkan peserta yang mengambil bahagian dalam larian tersebut layak menerima markah kokurikulum di bawah dua kategori utama, penglibatan peringkat Kebangsaan dan pencapaian peringkat Kebangsaan.

Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia, Wong Kang Woon berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh KPM itu.

“Ia merupakan pengesahan penting terhadap usaha kami memperkasakan kanak-kanak melalui sukan dan penglibatan holistik. Ini bukan sekadar larian, ia adalah simbol kepercayaan kami terhadap potensi setiap anak Malaysia.

“Pengiktirafan KPM juga mengukuhkan inisiatif Kidslympic Malaysia sebagai bukan sekadar acara sukan, tetapi platform bertaraf kebangsaan yang menyokong pembangunan holistik kanak-kanak, memupuk kesihatan, disiplin, semangat berpasukan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN