KHM gembira MJHL dapat sambutan

KHM gembira MJHL dapat sambutan

PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Sandhu (kiri) bersama delegasi teknikal MJHL, Deepak Sharma dalam sidang media di Bukit Jalil hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan pasukan dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) menunjukkan peningkatan mendadak apabila sebanyak 63 pasukan mengesahkan penyertaan berbanding 49 skuad musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Anil Sandhu berkata, peningkatan tersebut didorong daripada gabungan dua faktor utama.

“Pertama, minat terhadap sukan ini sendiri yang semakin meluas. Kedua, kita dapat lihat negeri-negeri kini lebih bersemangat untuk mempamerkan bakat-bakat baharu dan bakat terpendam mereka di pentas kebangsaan.

“Sebenarnya saya gembira juga, daripada 49 ke 63 pasukan, ini peningkatan yang banyak, lebih daripada 10. Ia bagus untuk hoki kita, sekurang-kurangnya kita boleh lihat pemain baru beraksi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 43 pasukan remaja lelaki dibahagikan kepada dua divisyen manakala 23 skuad remaja wanita akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan bermula 7 Julai hingga 23 Ogos ini di 10 lokasi berbeza.

Ketika ditanya sama ada kejayaan skuad kebangsaan atau program pembangunan di peringkat negeri menjadi penyumbang utama Anil berkata, penghargaan harus diberikan kepada kedua-dua pihak.

“Kita perlu beri kredit kepada usaha pembangunan di peringkat negeri dan juga sokongan padu daripada ibu bapa yang semakin menggalakkan anak-anak mereka menceburi sukan lasak seperti hoki,” jelasnya.

Katanya lagi, KHM sentiasa memberi galakan kepada negeri-negeri untuk menyertai lebih banyak kejohanan supaya bakat baharu dapat diserap ke dalam skuad hoki kebangsaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN