PENYANYI, Khai Bahar mampu menarik sedikit nafas lega selepas perlahan-lahan mengatasi masalah kebimbangan melampau (anxiety) yang dideritainya sejak setahun lalu.
Walaupun belum sepenuhnya pulih daripada masalah tersebut, anak kelahiran Kangar, Perlis ini setidaknya berupaya meredakan sedikit penderitaan tanpa perlu lagi bergantung kepada ubat yang disarankan doktor.
“Orang yang tidak pernah mengalami anxiety tidak faham apa yang penderita rasakan. Sebab itu saya pilih untuk luahkan masalah ini kepada doktor pakar atau setidaknya keluarga sendiri.
“Bermacam-macam cara saya lakukan untuk mendapatkan rawatan termasuklah dengan berjumpa doktor bertauliah serta berubat cara Islam.
“Tapi saya tak sangka penderitaan ini juga dapat dikurangkan apabila saya mengubah mentaliti dengan tidak membiarkan perasaan terbawa-bawa selain amalkan pemakanan serta gaya hidup sihat,” katanya.
Khai mengakui masalah kebimbangan melampau yang dialaminya itu meninggalkan kesan negatif dan mengakibatkan kehidupannya terumbang ambing.
“Masalah ini boleh membuatkan saya bersedih tanpa sebab. Ia adakalanya menyebabkan saya berputus asa dengan kehidupan.
“Saya pernah diserang (anxiety) semasa menjadi tetamu program MeleTop. Ketika menyanyi dalam rancangan itu, saya tidak sedar yang saya pegang mikrofon dalam keadaan terbalik.
“Saya tidak boleh biarkan masalah ini menjadi lebih teruk kerana ia mengganggu hidup dan pekerjaan saya. Sebab itu saya ikhtiar untuk mengatasinya,” jelasnya.
BERI SEDIKIT WAKTU
Bercerita mengenai single terbaharunya ini, Khai tidak menolak Beri Sedikit Waktu dapat merawat banyak hati yang terluka.
Katanya, dia tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan merakamkan lagu yang dianggapnya terlalu istimewa itu.
“Cerita dalam lagu ini berkait rapat dengan jalan hidup saya dan ramai orang kerana kita semua lalui jatuh bangun kehidupan.
“Saya rasa kehilangan sejak ibu saya meninggal dunia. Bukan mudah untuk tanggung perasaan itu. Disebabkan itu, saya lepaskan kesedihan dengan tangisan.
“Dan menerusi lagu ini, saya ingin menyatakan kepada pendengar, menangislah, jika itu cara terbaik untuk merawat hati yang luka,” katanya.-UTUSAN