ALOR SETAR: Dua individu termasuk seorang pesara guru kerugian lebih RM470,000 setelah terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang dipromosikan melalui media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, pesara guru berusia 60 tahun tahun dari Kampung Parit Buaya, di sini kerugian RM160,000 selepas menyertai skim pelaburan kononnya ditawarkan syarikat Principal Malaysia 204 di Facebook, Julai lalu.
“Wanita berkenaan membuat laporan polis pada pukul 11.45 pagi semalam mendakwa terpedaya konon memperoleh keuntungan RM23,000 dalam tempoh tiga jam daripada pelaburannya sebanyak RM224. Namun untuk mengeluarkan wang tersebut mangsa diminta membuat bayaran tambahan.
“Dalam tempoh tersebut mangsa akhirnya membuat 49 transaksi berjumlah RM160,000 ke 30 akaun bank berbeza antara 22 Julai hingga 3 September lalu, termasuk menggunakan wang simpanan Tabung Haji. Mangsa kemudian berasa ditipu dan membuat laporan polis semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, kata beliau, dalam satu kes berasingan di Kulim, pihaknya turut menerima laporan polis daripada seorang lagi mangsa yang kerugian lebih RM314,000 selepas menyertai skim pelaburan menggunakan nama CMB International Capital pada pukul 8 malam semalam.
“Tawaran itu menjanjikan pulangan mencecah 570 peratus dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Mangsa dikatakan berhubung dengan beberapa individu melalui WhatsApp dipercayai dari luar negara dan membuat bayaran berperingkat ke tiga akaun berbeza antara 4 Ogos hingga 23 September lalu.
“Mangsa ada menerima pulangan awal sebanyak RM5,000 namun selepas itu diminta terus membuat tambahan bayaran untuk mendapatkan baki pulangan yang dijanjikan,” katanya.
Menurut beliau, syarikat CMB International Capital memang wujud dan berdaftar di Hong Kong, tetapi dipercayai disalah guna pihak tertentu untuk tujuan penipuan.
“Kertas siasatan dibuka dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN









