Kerajaan perlu pinda Perlembagaan Persekutuan, hapus kuasa PM lantik hakim

Kerajaan perlu pinda Perlembagaan Persekutuan, hapus kuasa PM lantik hakim

Latheefa Koya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan sepenuhnya kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan hakim susulan kebocoran dokumen mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). 

Menurut Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya, langkah itu adalah satu-satunya cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman. 

Jelasnya, ia adalah tindakan yang wajar susulan kebocoran minit mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang kini tersebar luas di media sosial.

Latheefa juga menyifatkan kebocoran dokumen itu sebagai ‘skandal kehakiman terbesar dalam sejarah’ dan memberi amaran bahawa kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara kini berada pada tahap paling kritikal.

“Pindaan baharu ini mesti menjadi keutamaan mutlak dalam sidang Parlimen akan datang. 

“Tiada perkara lain yang mampu meredakan kebimbangan dan kemarahan orang awam. Maklumat yang tertiris ini tidak lagi boleh dibendung. Ia telah pun dibaca oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Latheefa, skandal itu turut mengesahkan kebimbangan rakyat berhubung campur tangan eksekutif dalam institusi kehakiman, walaupun sebelum ini kerajaan berkali-kali menafikannya.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu memikul tanggungjawab penuh atas krisis ini bersama Kerajaan Madani yang diterajuinya.

Dalam pada itu, Latheefa turut menggesa agar siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan segera terhadap semua dakwaan yang terkandung dalam dokumen berkenaan.

“Siasatan ini mesti dilakukan di peringkat tertinggi, secara telus dan terbuka kepada pengetahuan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN