Kepenatan jejas prestasi skuad renang negara 

Kepenatan jejas prestasi skuad renang negara 

KETUA jurulatih renang negara, Eric Anderson (kanan) bersama perenang negara Khiew Hoe Yean (tengah). - IHSAN SUKAN IPT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepenatan menjadi faktor utama kegagalan skuad renang negara meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 yang kini berlangsung di Singapura.

Perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih negara, Eric Anderson namun tetap menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya yang terus berjuang walaupun menghadapi dua kejohanan berbeza dalam tempoh terdekat.

“Kami menyasarkan Sukan Universiti Dunia (WUG) minggu lepas. Menyertai beberapa pertandingan berturut-turut selama seminggu, dengan penerbangan merentas dunia di antaranya, bukanlah tugas yang mudah.

“Dia (Khiew Hoe Yean) telah berlumba pada dalam empat hari pertama kejohanan ini, termasuk acara 800m kelmarin yang bukan acara biasa baginya. 

“Saya sangat gembira dengan usaha dan sikapnya sepanjang minggu ini. Kini dia (Hoe Yean) mempunyai beberapa hari untuk berehat sebelum kami bertanding dalam acara berganti-ganti pada akhir kejohanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Skuad renang negara sebelum ini menyertai WUG Rhine-Ruhr 2025 yang berakhir minggu lalu berjaya membawa pulang pingat perak  menerusi acara 400m gaya bebas lelaki malah turut meleburkan rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 3 minit 47.38 saat (s).

Kejayaan tersebut menamatkan kemarau pingat Malaysia selama 34 tahun dalam acara renang di WUG yang kali terakhir disumbangkan Jeffrey Ong menerusi pingat perak 1,500m gaya bebas lelaki pada temasya 1991 di Sheffield, England.

Kuartet renang negara turut memecahkan rekod kebangsaan 4x200m gaya bebas pada temasya itu selepas gandingan Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin mencipta masa 7:19.66s menamatkan aksi final di tempat keenam.

Kontinjen renang negara akan beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas di Pusat Akuatik OCBC hari ini sebelum menyertai 4x100m berirama, Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN