PETALING JAYA: Kecederaan pada bahu kiri memaksa penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong menarik diri daripada acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 yang berlangsung di Singapura, hari ini.
Pandelela yang bergandingan bersama Lee Yiat Qing sempat melengkapkan dua terjunan sebelum membuat keputusan untuk menarik diri bagi mengelakkan kecederaan bertambah serius.
“Ini kemas kini ringkas mengenai penarikan diri saya daripada acara 10m platform seirama hari ini.
“Awal bulan ini, saya mengalami kecederaan di bahu kiri namun ia masih dapat dikawal dengan rawatan fisioterapi. Namun, semasa sesi pemanasan hari ini, kecederaan itu kembali terasa ketika saya melakukan salah satu terjunan berintensiti tinggi, sejurus sebelum acara bermula.
“Justeru, selepas dua terjunan, kami membuat keputusan untuk menarik diri demi faktor keselamatan. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir ke venue untuk memberi sokongan,” katanya.
Susulan insiden itu, penyertaan Pandelela dalam acara individu 10m platform yang dijadual berlangsung Rabu ini kini menjadi tanda tanya. – UTUSAN