PETALING JAYA: Impian Leong Jun Hao untuk mencipta detik manis di bumi matahari terbit berkecai selepas tewas mengejut kepada jaguh muda Perancis, Alex Lanier, dalam pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu kelihatan tenggelam apabila mudah ditundukkan 12-21, 14-21 oleh juara bertahan berusia 20 tahun yang kini menghuni ranking kelapan dunia.
Pertemuan sulung antara kedua-dua pemain itu menyaksikan Jun Hao gagal mengulangi prestasi cemerlang seperti di Jepun Masters tahun lalu dan ketika menumbangkan Jonatan Christie di Terbuka Singapura Mei lalu.
Kekalahan ini turut menamatkan rentetan dua kemaraan pusingan kedua berturut-turut buat Jun Hao yang sebelum ini dilihat mula menemui rentak selepas permulaan musim yang hambar.
Tersingkirnya Jun Hao menyaksikan tiada wakil negara dalam sektor perseorangan susulan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu hadir ke Tokyo sebagai wakil tunggal. – UTUSAN