Jun Hao, Letshanaa berlatih di Denmark sebelum ke Paris

Jun Hao, Letshanaa berlatih di Denmark sebelum ke Paris

Leong Jun Hao bakal mengasah taringnya di Copenhagen, Denmark pada 18 hingga 22 Ogos ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kem perseorangan badminton negara bakal terbang ke Denmark bagi menjalani latihan akhir sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Paris dari 25 Ogos hingga 1 September ini.

Pemain utama negara, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa menjadi taruhan utama membawa cabaran Malaysia, manakala Justin Hoh turut menyertai kem tersebut sebagai rakan regu sepanjang sesi latihan.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen berkata, latihan di Denmark pada 18 hingga 22 Ogos itu adalah penyelesaian terbaik untuk mendapatkan rakan regu bertaraf lebih tinggi selain proses penyesuaian diri di Eropah.

“Kami memohon kepada skuad kebangsaan Denmark untuk menjalani latihan prakejohanan di Pusat Latihan Kebangsaan mereka. Ia satu peluang sangat baik untuk pemain kita berlatih bersama rakan regu bertaraf dunia.

“Selain menyesuaikan diri dengan zon masa dan cuaca di Eropah, pemain juga dapat merasai suasana latihan yang berbeza sebelum turun ke gelanggang sebenar di Paris,” kata Jonassen selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Ditanya sama ada bintang Denmark seperti Viktor Axelsen dan Anders Antonsen akan menyertai kem latihan tersebut di Copenhagen, Jonassen menjangkakan kehadiran pemain utama negara bakal berada dalam ke latihan berkenaan.

Menurut bekas ketua jurulatih Denmark itu, program latihan berkenaan akan berlangsung selama seminggu sebelum Kejohanan Dunia dan menjadi sebahagian daripada strategi mempercepatkan proses adaptasi serta meningkatkan mutu permainan pemain.

“Saya bukan lagi ketua jurulatih Denmark, namun saya jangka pemain-pemain utama akan berada di sana, cuma dari segi kapasiti dan kekerapan latihan harian, itu bukan dalam kawalan saya.

“Denmark mempunyai ramai pemain bertaraf tinggi. Jadi, ada banyak peluang untuk kami menyesuaikan dan mengubah corak latihan. Buat masa ini, kami ada tiga minggu latihan di sini sebelum berlepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN