MADRID: Pemain bola sepak Portugal, Diogo Jota, dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Zamora, di barat laut Sepanyol awal pagi tadi.
Menurut laporan stesen televisyen milik kerajaan Sepanyol, kejadian berlaku apabila kenderaan yang dinaiki Jota bersama abangnya terbabas sebelum terbakar.
Pasukan bomba tempatan yang tiba di lokasi mengesahkan dua lelaki berusia 28 dan 26 tahun ditemui rentung dalam kenderaan tersebut.
Polis dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal menunjukkan maklumat itu adalah tepat, namun identiti mangsa belum disahkan secara rasmi.
Insiden tragis itu berlaku hanya beberapa hari selepas Jota melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya pada 28 Jun lalu.
Sepanjang kariernya, Jota yang berusia 28 tahun, merupakan antara tonggak utama Liverpool sejak menyertai kelab itu dari Wolverhampton Wanderers pada tahun 2020.
Beliau menjaringkan 65 gol dalam 182 penampilan bersama The Reds dalam semua kejohanan.
Selain membantu Liverpool menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu, beliau turut menyumbang kepada kejayaan pasukan itu meraih Piala FA dan Piala Liga.
Di peringkat antarabangsa, Jota telah mewakili Portugal sebanyak 49 kali dan memenangi kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA sebanyak dua kali.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kemalangan.-UTUSAN