PETALING JAYA: Kawasan Johan Setia, Selangor (135) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (132) masing-masing mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 5.45 petang hari ini.
Menurut kemas kini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS), 60 kawasan terlibat merekodkan bacaan sederhana (51-100) manakala enam stesen berada dalam kategori baik (0-50).
Antara lokasi dengan bacaan IPU sederhana tertinggi adalah Banting, Selangor (96); Cheras, Kuala Lumpur (91); Nilai, Negeri Sembilan (88); Kota Bharu, Kelantan (86) dan Kuala Terengganu, Terengganu (84).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Data IPU itu dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. – UTUSAN










