PORT DICKSON: Bau asap yang kuat serta jerebu jelas dirasakan penduduk sekitar daerah ini sejak pagi tadi.
Orang ramai termasuk pengunjung di pantai-pantai peranginan di daerah ini ketika ditemui Utusan Malaysia turut mengakui terkejut dengan situasi tersebut.
Seorang pengunjung Pantai Telok Kemang di sini, Siti Aisyah Alwi, 37, berkata, kabus tebal kelihatan sebaik sahaja dia dan keluarga memasuki pusat peranginan tersebut sekitar pukul 10 pagi.
“Memang terkejut sebab dari jauh sudah nampak kabus tebal sehingga tidak dapat melihat kereta di hadapan.
“Saya mula-mula ingatkan hanya kabus biasa tetapi selepas tengok Facebook, rupa-rupanya memang betul jerebu sedang melanda di kawasan Port Dickson,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Mohd. Azlan Ahmad, 42, berkata, keadaan jerebu di kawasan pantai memang menimbulkan kebimbangan pengunjung kerana boleh menjejaskan kesihatan terutama kanak-kanak.
“Kami datang ke sini bawa anak-anak bercuti, jadi sangat risau kerana jerebu ini boleh jejaskan kesihatan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, beberapa kawasan di Negeri Sembilan mengalami keadaan jerebu yang merupakan kesan langsung daripada peningkatan aktiviti titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan cuaca kering yang melanda sebahagian besar kawasan termasuk bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia serta tiupan angin barat daya.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) yang dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Port Dickson mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 109 pada pukul 2 petang tadi. – UTUSAN







