PETALING JAYA: Saingan Piala FA musim 2025/26 dijangka berlangsung sengit dan penuh warna-warni selepas keputusan undian pusingan 16 terbaik diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebentar tadi.
Tumpuan pastinya terarah kepada penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan bertemu wakil baharu Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United.
Meskipun di atas kertas dilihat memihak kepada Harimau Selatan, namun pentas Piala FA sering menyaksikan kejutan luar jangka.
Di Borneo pula, pertembungan tetangga yang melibatkan DPMM FC dari Brunei dan Kuching City FC bakal mencuri tumpuan peminat, dalam apa yang dijangka menjadi aksi ‘derby’ hangat yang sarat emosi.
Pasukan baharu Liga Super, Imigresen FC bakal menguji keampuhan mereka apabila diundi menentang juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC.
Pertemuan itu menjadi medan terbaik buat skuad kendalian Imigresen untuk mengukur kemampuan sebenar mereka di pentas lebih tinggi.
Negeri Sembilan FC pula akan membuat perhitungan dengan PDRM FC yang tampil dengan nafas baharu musim ini selepas memperkuatkan pasukan dengan beberapa muka import dan gaya permainan lebih agresif.
Di Sabah, skuad Badak dijadualkan melayani kunjungan Bunga Raya FC dalam aksi yang dilihat seimbang berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan dalam liga masing-masing.
Sementara itu, Penang FC perlu tampil lebih berhati-hati apabila dijadualkan menentang juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu, Melaka FC.
Melaka tampil dengan barisan pemain muda berbakat besar yang mampu memberi ancaman serius.
Selangor FC pula bakal melayan cabaran Malaysian University FT (MUFT) yang merupakan satu perlawanan yang mungkin memberi ruang kepada barisan kejurulatihan Red Giants untuk merombak kesebelasan utama dan memberi peluang kepada pemain simpanan menyerlahkan potensi.
Satu lagi pertembungan menarik menyaksikan KL City FC bakal berdepan Kelantan TRW FC yang kini hadir dengan wajah baharu serta tekad mengangkat kembali nama mereka dalam kancah bola sepak utama negara.
Sebagai rekod, edisi lalu menyaksikan JDT menjulang Piala FA selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan bergaya 6-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menambah koleksi trofi domestik buat gergasi selatan itu.-UTUSAN