SACHSENRING: Marc Marquez terus melakar kemenangan kesembilan di Grand Prix Jerman Ahad lalu, namun teguran pedasnya terhadap tahap keselamatan Litar Sachsenring mencuri tumpuan hujung minggu lalu.
Pelumba Ducati itu menggesa agar penambahbaikan segera dilakukan terutama melibatkan jarak dinding perlindungan yang terlalu hampir dengan laluan perlumbaan.
“Beberapa dinding sudah berada di tahap maksimum. Dalam keadaan hujan, apabila jatuh, kelajuan seakan meningkat semasa menyentuh permukaan.
“Jadi risiko sangat tinggi walaupun kita ada pelindung udara,” kata Marquez.
Litar tersebut mencatat rekod kehadiran penonton lebih 256,000 orang hujung minggu lalu, namun beberapa kemalangan termasuk insiden di selekoh pertama yang menyebabkan perlumbaan Moto2 dihentikan lebih awal mencetuskan kebimbangan.
Adiknya, Alex Marquez turut bersetuju bahawa beberapa selekoh seperti Selekoh 5 dan Selekoh 8 perlu diubah suai demi keselamatan pelumba.
Juara dunia, Francesco Bagnaia pula menyifatkan masalah ini bukan hanya tertumpu kepada Sachsenring, malah membabitkan semua litar lama yang tidak lagi sepadan dengan kelajuan motosikal moden.
“Kelajuan jentera semakin meningkat, tapi litar masih sama. Kalau langkah seperti di Jerez diperluas ke semua litar klasik, ia akan jauh lebih selamat,” kata Bagnaia.-AGENSI