Insiden pergaduhan boleh dielakkan - Enrique

Insiden pergaduhan boleh dielakkan – Enrique

JURULATIH Chelsea, Enzo Maresca (kiri) dilihat bertengkar dengan Luis Enrique sambil dihalang beberapa pemain selepas final Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Jurulatih Paris Saint-Germain, Luis Enrique mengakui dia hanya cuba untuk meleraikan pemain selepas terlibat dalam pergaduhan di atas padang pada penghujung kekalahan 3-0 pasukannya kepada Chelsea dalam final Piala Dunia Kelab, semalam.

Rakaman televisyen menunjukkan bos PSG itu mengangkat tangannya ke leher Joao Pedro yang sebelum itu menjaringkan gol ketiga Chelsea selepas dua gol daripada Cole Palmer di Stadium MetLife.

“Terdapat tolak-menolak, banyak ketegangan dan tekanan. Situasi itu sememangnya sepatutnya dielakkan. Niat saya jelas hanya untuk cuba meleraikan pemain-pemain,” kata Luis Enrique kepada pemberita.

LUIS Enrique kelihatan kecewa sewaktu meninggalkan pentas utama selepas aksi final Piala Dunia Kelab FIFA, semalam. – AFP

Enrique turut mengakui Chelsea memang layak memenangi kejohanan tersebut sambil menggesa pasukannya untuk menikmati cuti musim panas yang singkat selepas mengharungi kempen yang luar biasa.

Kekalahan PSG menafikan mereka daripada mencipta kejayaan menyapu bersih semua trofi apabila mereka memenangi Liga Juara-Juara serta kejuaraan liga dan Piala Perancis pada Mei lalu.

“Saya rasa sepanjang perlawanan mereka memang layak menang. Mereka bermain dengan sangat baik. Saya sudah katakan sebelum ini bahawa Chelsea adalah pasukan yang sangat baik dan mereka layak mendapat kemenangan dan trofi ini,” katanya.

Musim bersejarah PSG berakhir selepas 11 bulan dan 65 perlawanan dan kini mereka mempunyai tepat sebulan sebelum kembali beraksi menentang Tottenham Hotspur dalam aksi final Piala Super UEFA, 14 Ogos ini.

“Saya rasa penting untuk kami menikmati cuti kami. Ia akan sangat singkat tapi kami perlu memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN