Bakat pelajar Malaysia dalam bidang penghasilan inovasi terus terserlah dengan kejayaan di peringkat antarabangsa . Usaha gigih tersebut membuktikan bakat dan kemahiran mereka bukan sahaja mencerminkan kejayaan pendidikan tanah air, tetapi dihargai pihak luar termasuk yang baru dibuktikan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(1).
Terbaharu inovasi pendidikan hasil ciptaan guru dan pelajar sekolah berkenaan , Kit Binujar 4.0, berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih Anugerah Emas di World Invention Creativity Olympics (WICO) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
Pertandingan berprestij anjuran Korea University Invention Association (KUIA) itu berlangsung selama tiga hari bermula 17 Julai lalu di Seoul National University of Education, menghimpunkan ratusan penyertaan daripada seluruh dunia.
Guru pembimbing merangkap pencetus utama inovasi tersebut, Muhammad Shahrol Harun berkata, kemenangan itu menjadi sejarah tersendiri buat pasukan sekolah kerana ia merupakan penyertaan pertama mereka di peringkat antarabangsa.
“Kami tidak menyangka akan memperoleh anugerah emas di pentas dunia ini dengan pelbagai inovasi daripada negara lain. Ini pengiktirafan besar terhadap kesungguhan pelajar dan sokongan berterusan daripada ibu bapa,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini
Kit Binujar 4.0 yang dibangunkan sejak tiga tahun lalu merupakan satu pendekatan pendidikan berasaskan game-based learning yang direka khusus bagi membantu murid menguasai penulisan huruf-huruf berekor seperti ‘g’, ‘j’, ‘y’, ‘p’ dan ‘q’, terutama dalam kalangan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seperti autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
Menurut Shahrol, idea asal tercetus apabila beliau dan rakan-rakan guru mendapati ramai murid, terutamanya murid pendidikan khas, mengalami kesukaran untuk menulis huruf dengan kemas.
Kit ini bermula dalam bentuk fizikal, menggunakan garisan berwarna hijau, kuning dan merah seperti lampu isyarat bagi memudahkan murid memahami struktur huruf. Ia kemudian dikembangkan kepada versi digital selari dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan.
Kit Binujar kini tampil sebagai aplikasi interaktif berteraskan enam tahap Taksonomi Bloom, iaitu mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta sekali gus membolehkan murid belajar dengan lebih menyeronokkan di rumah bersama ibu bapa, manakala guru boleh menggunakannya sebagai bahan bantu mengajar harian di sekolah.
Pasukan inovasi tersebut turut disertai dua guru lain, Siti Farah Marzuki dan Farahwahida Anuar manakala enam murid yang mewakili sekolah ialah Muhammad Ammar Ziqry Mohd Iskandar, Puteri Nur Shaheera Muhammad Rafique, Rania El Zara Shazan Kamarul Ariffin (PPKI), Hadif Sufyyan Mohd Hirman, Raja Auni Safiyya Raja Mohd Zulfadli dan Sumayyah Budi Mawardi serta Nor Adelea Zara Mohd Fahmi.
Shahrol berkata, isu tulisan yang sering dipandang remeh kerana disangka mudah rupa-rupanya memberi kesan besar apabila ditangani dengan pendekatan yang betul.
“Kit Binujar ini lahir daripada keperluan sebenar murid, dan apabila ia berjaya membantu mereka menulis dengan lebih yakin dan kemas, itulah kepuasan sebenar seorang guru khusus guru subjek bahasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji keberanian anak-anak didiknya yang mampu mempersembahkan inovasi mereka amat mengagumkan dan penuh yakin kepada juri dan delegasi asing.
“Mereka sendiri guna Kit Binujar, mereka rasa perubahan dalam tulisan mereka dan itu buat mereka lebih yakin untuk berkongsi. Apabila seseorang yakin dengan apa yang dia alami sendiri, penyampaiannya jadi lebih jujur dan meyakinkan.
“Itu yang saya nampak pada anak-anak murid saya. Kit Binujar bukan sekadar alat bantu belajar, tapi pemangkin keyakinan diri, malah satu langkah awal melatih keyakinan serta kemahiran komunikasi mereka di pentas antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Kit Binujar 4.0 turut meraih empat anugerah utama dalam International Innovation and Invention Competition (IICE) Universiti Tun Husein Onn Malaysia (UTHM) 2024, termasuk Anugerah Emas, Anugerah Pencipta Muda, Anugerah Pendidikan Terunggul serta Anugerah Khas Ketua Kejuruteraan Elektronik.
Inovasi tersebut kemudian meneruskan kecemerlangan apabila sekali lagi meraih Anugerah Emas dalam pertandingan Edu@Innovate International Education Innovation Competition 2025 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak. – UTUSAN