PETALING JAYA: Keputusan Harimau Malaya menarik diri daripada Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025 berisiko mencalarkan imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.
Biarpun ada alasan kukuh, penarikan diri secara mengejut mencetuskan persoalan tentang komitmen dan profesionalisme skuad negara di mata badan penganjur dan rakan serantau.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mohd Sadek Mustaffa berpendapat, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya sudah menjangka risiko atau cabaran yang akan berlaku sebelum menerima jemputan berkenaan.
Jelasnya, tindakan sebegini menyaksikan imej skuad negara akan tercalar dan beliau juga pelik dengan keputusan penarikan diri itu seolah-olah menggambarkan bahawa FAM tiada sensitiviti untuk menjaga nama baik bola sepak Malaysia.
“Bila terima jemputan Piala CAFA, pihak FAM heboh sana sini seperti ayam jantan berkokok. Kesudahannya mereka menarik diri dengan alasan yang sebenarnya mampu diselesaikan.
“Sepatutnya sebelum menerima jemputan ini, mereka sudah dapat memikirkan risiko atau cabaran bakal dihadapi terutama apabila tarikh kejohanan berlangsung sudah diketahui lebih awal.
“Apabila membuat keputusan menarik diri, ia bukan sahaja mengganggu sistem pengelola kejohanan tetapi turut memberi imej dan gambaran tidak baik kepada bola sepak negara dan FAM sendiri dibawah kepimpinan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sadek juga melihat, ia sebagai satu kesilapan strategik yang boleh menjejaskan hubungan diplomasi sukan antara FAM dan badan induk lain di rantau Asia.
“Walaupun kita akui kekangan jadual bukan satu perkara kecil, namun tindakan menarik diri pada saat akhir seolah-olah memberi gambaran bahawa kita kurang bersedia atau tidak komited. Ia sedikit sebanyak mencalar imej profesionalisme bola sepak kita,” ujarnya.-UTUSAN