JASIN: Seorang ibu tunggal yang mendiami rumah dengan kerangka bumbung dimamah anai-anai dan atap bocor hingga rumah dimasuki air hujan, kini mampu menarik nafas lega apabila kediamannya dibaik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000.
Rohana Mohd. Nasir, 66, yang tinggal di Pondok Kempas, Selandar dekat sini berkata, sebelum ini dia terpaksa tinggal di rumah yang sering dimasuki air hujan di ruang tamu hingga ke dapur dan tidak mampu membaikinya kerana masalah kewangan.
“Alhamdulillah rumah saya sudah dibaiki sepenuhnya dan tiada lagi berlaku kebocoran ketika hujan, bukan seperti lima tahun dulu. Sebelum ini, bila keluar pergi mengaji terpaksa guna besen untuk tadah air hujan dan kadang-kadang bila balik habis ruang tamu hingga ke dapur habis basah.
“Masalah ini saya hadapi lebih lima tahun walaupun aduan dibuat tetapi tidak ada tindakan diambil tetapi bila Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang baharu dilantik masalah ini dapat perhatian. Sekarang saya rasa cukup selesa selepas kerangka bumbung diganti baru, serta bumbung baru dan kedua-dua pintu dibaiki,” katanya ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Majlis Perbandaran Jasin (MPJ)-Menyantuni Penerima Program Baik Pulih Rumah (PPKB), hari ini.
Program disempurnakan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Penyelaras Japerun DUN Bemban, Raziff Yakop.
Seorang lagi penerima, Siti Hajar Abu Kassim, 42, yang mewakili ibunya, Salinah Ibrahim, 79, turut menzahirkan rasa lega apabila atap rumah yang didiami bersama tujuh ahli keluarga dibaik pulih sepenuhnya.
“Saya mewakili ibu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu membaik pulih rumah ini,” katanya. – UTUSAN