Horner tuntut pampasan daripada Red Bull

Horner tuntut pampasan daripada Red Bull

CHRISTIAN Horner
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Christian Horner dilaporkan menuntut pampasan mencecah 50 juta pound (RM287.5 juta) daripada Red Bull susulan pemecatannya secara mengejut daripada jawatan Ketua Pasukan Formula Satu (F1) itu.

Difahamkan, warga Britain berusia 51 tahun itu masih memiliki baki kontrak selama lima tahun yang sepatutnya tamat pada 2030, menjadikan jumlah pampasan yang dituntut melebihi 50 juta pound.

Pemecatan Horner diumumkan secara rasmi Rabu lalu dengan serta-merta, sekali gus mengejutkan seluruh dunia F1.

Beliau sebelum itu telah digugurkan daripada tugasan operasi pada awal minggu sebagai langkah sementara ketika peguam beliau mempertikaikan syarat penyelesaian yang dikemukakan Red Bull.

Dalam ucapan terakhirnya kepada kakitangan di ibu pejabat Red Bull di Milton Keynes, Horner dilihat sebak dan mengakui terkejut dengan pemecatan tersebut.

“Saya masih akan kekal sebagai pekerja syarikat ini, tetapi secara operasi, baton sudah diserahkan.

“Ia benar-benar mengejutkan saya. Dalam tempoh 12 jam lalu, saya sempat merenung kembali perjalanan selama 20 tahun ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua ahli pasukan yang telah memberi sepenuh komitmen sejak hari pertama.

“Saya masih ingat ketika mula-mula datang, tidak tahu apa yang dijangka, tapi saya disambut mesra. Kami bersama-sama membina satu kuasa besar dalam F1.

“Menjadi sebahagian daripada pasukan ini merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN