Hoe Yean hadiah pingat sulung Malaysia di WUG

Hoe Yean hadiah pingat sulung Malaysia di WUG

(DARI kiri) Khiew Hoe Yean dengan pingat peraknya bersama pemenang emas, Nikolai Kolesnikov serta Ryan Erisman dari Amerika Syarikat yang meraih gangsa pada acara renang 400 meter gaya bebas lelaki pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Berlin, Jerman. - IHSAN SUKAN IPT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perenang sensasi negara, Khiew Hoe Yean menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 selepas meraih perak dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki, awal pagi tadi.

Hoe Yean membuktikan kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 3 minit 47.38 saat (s) dalam aksi akhir yang penuh dramatik di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin.

Lebih manis, catatan itu mengatasi rekod lama 3:48.36s yang dicipta di Kejohanan Australia tahun lalu sekali gus melonjakkan dirinya di tangga kedua dunia dalam kalangan pelajar universiti.

Perenang berusia 22 tahun itu memecut garang pada 50m terakhir untuk memintas wakil Amerika Syarikat (AS), Ryan Erisman yang hanya berpuas hati dengan gangsa (3:47.52s).

Gelaran juara menjadi milik Nikolai Kolesnikov dari pasukan Atlet Neutral Individu yang mencatat masa 3:46.66s dalam pertarungan tiga penjuru paling sengit setakat ini di WUG 2025.

Lebih membanggakan, kejayaan itu menamatkan kemarau 34 tahun negara tanpa sebarang pingat renang di temasya berprestij itu sejak kali terakhir pada 1991 menerusi Jeffrey Ong.

Hoe Yean sebelum ini hanya menduduki tempat keempat di pusingan kelayakan namun berjaya bangkit dengan prestasi terbaik apabila ia paling diperlukan.

Beliau dijadualkan turun sekali lagi esok dalam acara 200mgaya bebas lelaki untuk memburu pingat kedua peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN