PETALING JAYA: Google mengiktiraf Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) sebagai rakan kerjasama menerusi Program Priority Flagger dalam usaha memperkukuhkan keselamatan digital dan memastikan pematuhan dasar kandungan di Malaysia.
Dengan pelantikan itu, Content Forum akan memainkan peranan lebih aktif dalam melaporkan kandungan yang berpotensi melanggar dasar di platform Google dan YouTube khususnya melibatkan sensitiviti tempatan dan budaya masyarakat Malaysia.
Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan S. Qureshi berkata, kerjasama dengan Content Forum merupakan langkah penting dalam menambah baik ketelusan dan keselamatan kandungan digital di negara ini.
“Di Google, kami percaya mewujudkan persekitaran digital yang selamat memerlukan kerjasama seluruh ekosistem.
“Dengan bekerjasama dengan organisasi seperti Content Forum, kami menambah satu lapisan kepakaran tempatan yang penting, sekali gus memperkukuh keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap kandungan bermasalah dengan lebih tepat dan relevan.
“Program Priority Flagger mengukuhkan komitmen kami untuk memperkasa rakan kongsi yang dipercayai serta memastikan platform kami kekal selamat untuk semua, di mana jua,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Farhan, sebagai organisasi di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Content Forum berperanan sebagai badan industri kawal selia kendiri yang mempromosikan amalan kandungan beretika dan bertanggungjawab merentasi media elektronik.
“Menerusi program itu, Content Forum diberi akses kepada saluran khas untuk melaporkan kandungan yang melanggar dasar, yang kemudiannya akan diberikan keutamaan untuk disemak oleh pihak Google.
“Content Forum juga turut menyertai perbincangan dasar serta memberi maklum balas secara langsung kepada Google dan YouTube bagi memperhalusi garis panduan kandungan agar lebih selari dengan keperluan serta norma tempatan,” katanya. – UTUSAN










