GAPENA anjur Hari Puisi Nasional satukan sastera dan kemanusiaan

GAPENA anjur Hari Puisi Nasional satukan sastera dan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23 yang berlangsung di Villea Morib, Banting pada 11 hingga 13 Julai ini, menyatukan suara penyair seluruh negara dengan tema “Manusiawi dalam Puisi”.

Penganjuran kali ini dianjurkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama Kerajaan Negeri Selangorena dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pelbagai pengisian ilmu dan apresiasi.

Tujuan HPN adalah memasyarakatkan puisi kebangsaan kepada semua lapisan masyarakat pelbagai kaum serta mengangkat peranan puisi dalam pembinaan manusia dan tamadun bangsa.

Selain itu, HPN ke-23 juga menjadi medan membincangkan perkembangan puisi semasa dan cabaran mendatang khususnya dalam konteks pemikiran, nilai dan pendidikan kebudayaan nasional.

Buat julung kali, HPN dan Hari Puisi Kebangsaan digabungkan hasil resolusi pada tahun 2021, membentuk pendekatan holistik terhadap pembangunan sastera puisi tanah air.

Beberapa tokoh terkenal yang turut membentangkan pandangan mereka termasuklah Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Zaen Kasturi, Prof. Dr. Halim Ali dan Nisah Haron.

Majlis perasmian berlangsung pada 12 Julai di Dewan Orang Ramai Kampung Tali Air, Morib, oleh Mohd. Najwan Halim mewakili Menteri Besar Selangor.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan serta Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan yang memberikan ucapan pembukaan.

GAPENA turut menyampaikan Anugerah Penyair GAPENA 2025 kepada SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Abdul Ghafar Ibrahim dan Wadi Leta S.A. atas jasa besar dalam dunia puisi.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan puisi oleh juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Selangor, SN Datuk Zurinah Hassan dan SN Datuk Rahman Shaari serta nyanyian berunsurkan puisi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN