LONDON: Thomas Frank berkata dia mahu membawa Tottenham Hotspur ke tahap baharu semasa sidang media pertamanya sebagai pengurus kelab tersebut semalam.
Frank menyertai Spurs dari Brentford selepas kelab itu memecat Ange Postecoglou walaupun jurulatih dari Australia itu membawa pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Europa, trofi utama pertama mereka dalam 17 tahun tetapi turut menyaksikan kempen liga utama terburuk kelab itu sejak musim 1976-1977.
Walaupun Frank positif tentang hasratnya memperbaiki prestasi Spurs yang menduduki tempat ke-17 dalam liga musim lalu namun dia tidak memberi jaminan mengenai masa depan Son Heung-min dan berhati-hati apabila ditanya tentang usaha kelab itu untuk mendapatkan Morgan Gibbs-White.
Namun, dia mengesahkan bahawa kapten, Son dan penolong kapten, Cristian Romero akan terus kekal bersama pasukan selepas kedua-duanya dikaitkan bakal meninggalkan Spurs dalam jendela perpindahan.
Frank turut menyatakan dia masih belum membuat keputusan mengenai kapten pasukan pada musim baharu walaupun Son mengetuai Spurs dalam kemenangan final Liga Europa ke atas Manchester United, Mei lalu.
“Dua pemain hebat, Sonny telah berada di sini selama 10 tahun, akhirnya meraih trofi yang amat layak untuknya pada musim panas lalu dan sangat penting untuk pasukan. Romero, pemenang Piala Dunia, Liga Europa, Copa America amat penting untuk kami juga.
“Saya belum buat keputusan tentang itu (kapten). Saya ada senarai panjang perkara yang perlu diselesaikan dan saya akan mengikut urutan yang betul,” katanya. – AFP