FKMM bantah pindaan Akta PNPV dan RUU Benih tanpa konsultasi menyeluruh

FKMM bantah pindaan Akta PNPV dan RUU Benih tanpa konsultasi menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap kurangnya proses konsultasi menyeluruh berhubung cadangan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta PNPV 2004) dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.

FKMM dalam kenyataan berkata, sebarang pembentangan berkaitan undang-undang melibatkan benih dan tanaman perlu melalui rundingan bermakna bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), petani, masyarakat sivil serta kerajaan-kerajaan negeri terlebih dahulu.

FKMM berkata, biarpun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan pada tahun hadapan, isu kurangnya proses libat urus tetap menjadi keprihatinan utama yang belum ditangani.

“Sehingga kini, teks pindaan Akta PNPV 2004 dan draf RUU Kualiti Benih Tanaman masih belum dibentangkan kepada JPKP, bercanggah dengan jaminan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 November 2024 bahawa kedua-duanya akan dirujuk terlebih dahulu kepada jawatankuasa tersebut,” katanya.

FKMM menjangkakan bahawa pindaan Akta PNPV 2004 mungkin akan dibawa ke Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas yang dijadual berlangsung dari 21 Julai hingga 28 Ogos ini.

“Sepanjang beberapa siri pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak 2019, pihak kementerian hanya memberikan taklimat sepihak tanpa membuka ruang soal jawab atau pendedahan dokumen pindaan kepada umum,’ katanya.

Menurut FKMM, Akta PNPV 2004 yang sedia ada telah lama berfungsi dengan baik sebagai satu rangka undang-undang yang mengimbangi kepentingan pembiak baka awam, pembiak baka komersial dan petani kecil termasuk hak menyimpan, berkongsi serta menjual benih.

Pindaan yang dicadangkan ke arah pelaksanaan Konvensyen Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV 1991) pula disifatkan akan menghakis perlindungan hak petani, dan membuka ruang monopoli kepada syarikat benih.

Dalam masa sama, FKMM turut menyatakan bahawa RUU Kualiti Benih Tanaman dilihat memperkenalkan peraturan berlebihan seperti pelesenan dan notifikasi kepada Jabatan Pertanian bagi semua penyimpan dan pengedar benih, termasuk petani kecil.

Walaupun bertujuan mengelakkan penipuan pembeli benih, forum itu bimbang undang-undang baharu tersebut akan menekan amalan tradisi perkongsian benih, meningkatkan kos kepada petani serta memperkenalkan hukuman denda dan penjara yang keterlaluan.

FKMM merupakan jaringan yang terdiri daripada 250 individu termasuk ahli akademik, profesional, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan petani dari seluruh negara yang memperjuangkan kedaulatan makanan dan hak petani di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN