KUALA TERENGGANU: Promosi jualan durian pada harga serendah RM5 sebiji yang ditawarkan di sini, mencetuskan fenomena luar biasa apabila 300 kilogram buah berkenaan habis dijual dalam tempoh 15 minit.
Gerai Lubuk Durian Ali Spices yang terletak di bandar Kuala Terengganu menyaksikan pelanggan sanggup menunggu lebih awal semata-mata untuk mendapatkan raja buah itu pada harga lebih murah.
Pemiliknya, Shahril Mohd Azhar, 36, berkata, promosi tersebut adalah inisiatif bersama rakan niaganya, Muhd Aminuddin Mohd Adnan, 22, yang baru bermula sejak tiga hari lalu.
“Kami mula dengan 300 kilogram sehari dan semuanya habis dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja. Sambutan memang luar biasa dan di luar jangkaan kami.
“Ia dibuat untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai kerana kami sedar bukan semua mampu membeli durian pada harga biasa yang boleh mencecah RM30 hingga RM50 sebiji,” katanya ketika ditemui di gerainya.
Katanya, biarpun dijual pada harga hanya RM5 sebiji, durian yang ditawarkan adalah campuran pelbagai gred antaranya ‘baby’ Musang King, udang merah dan durian kampung.
“Setiap hari gred buah berbeza, bergantung kepada bekalan yang masuk. Jadi pembeli dapat durian secara rawak, ikut rezeki masing-masing. Tapi kami pastikan semua buah dalam keadaan baik, segar dan isi berkualiti. Tak semestinya murah itu tak sedap,” katanya.
Menurut Shahril yang sudah lima tahun berniaga durian, promosi durian murah itu hanya dibuat sekali sehari iaitu sekitar pukul 5 petang.
“Biasanya kami buka sekitar pukul 5 petang tetapi pelanggan ada yang dah tunggu sejak 4.30 petang. Bila buka jualan, tak sampai 15 minit semua buah durian habis,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Ghani Hassan, 37, berkata, dia sanggup beratur dan menunggu hampir 20 minit demi mendapatkan durian murah untuk keluarganya.
“Saya beli dalam 20 biji hari ini. Dekat rumah anak ramai, jadi bila dapat beli harga RM5, bolehlah makan sama-sama. Memang puas hati sebab isi dia sedap.
“Bukan mudah nak dapat durian elok dengan harga macam ini. Saya doakan mereka terus buat promosi macam ni, bantu orang yang tak berkemampuan rasa durian,” ujarnya.
Promosi RM5 sebiji itu masih diteruskan selagi stok buah mencukupi dan bergantung kepada musim serta keadaan cuaca. – UTUSAN