MONACO: Bintang lompat bergalah dunia, Armand Duplantis menegaskan beliau tidak terkesan langsung dengan penganjuran Kejohanan Dunia Tokyo yang dijadual berlangsung lewat musim ini, dari 13 hingga 21 September.
Juara Olimpik dua kali itu menganggap kejohanan berkenaan sebagai kemuncak musimnya.
“Saya biasanya semakin baik apabila musim berlanjutan.”
“Saya sudah banyak kali beraksi cemerlang pada bulan September, jadi saya tak rasa ia satu masalah pun,” kata Duplantis.
Duplantis turut menyifatkan acara lompat bergalah sebagai ‘super fizikal’ dan menuntut ketepatan teknikal serta ‘feeling’ dengan kayu galah yang hanya boleh dicapai menerusi siri pertandingan berterusan.
“Saya masih ada beberapa pertandingan menjelang Tokyo, tapi sasaran utama saya memang untuk memuncak di sana,” ujarnya.
Pemenang 39 gelaran Liga Berlian itu juga mahu menamatkan penantian ke atas rekod kejohanan Monaco, selepas hanya menduduki tempat keempat dan kedua dalam dua edisi lalu.
“Saya rasa saya ada sesuatu yang perlu dibuktikan di sini. Rekod 6.02 meter itu antara yang masih belum saya miliki,” katanya.
Duplantis kini memegang rekod dunia 6.28m yang dicatatkan di Stockholm tiga minggu lalu dan menegaskan dia akan sentiasa bersedia untuk mencabar angka itu jika semua elemen ‘line-up’ sempurna.
“Kalau saya rasa rentak di landasan baik dan fizikal mantap, saya akan masuk setiap pertandingan dengan mentaliti untuk cuba pecah rekod,” katanya lagi. – AGENSI