KANGAR: Program Bridge to Brilliance (BtB) 4.0 oleh USANITA Group di New Zealand menjadi platform terbaik memperkasa usahawan wanita negara ini menembusi pasaran antarabangsa khususnya di rantau Australasia.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya mendapat sokongan Suruhanjaya Tinggi New Zealand dan ia merupakan pengiktirafan rasmi terhadap potensi wanita Malaysia dalam bidang diplomasi ekonomi.
Katanya, ia bukan sekadar galakan moral, tetapi tanda kepercayaan terhadap peranan wanita sebagai pemacu diplomasi budaya dan ekonomi.
“BtB 4.0: Australasia bakal menjadi pelopor kepada era baharu keterlibatan wanita Malaysia di pasaran global khususnya di New Zealand dan Australia. Inisiatif BtB 4.0 ini telah pun bermula di New Zealand dengan penghasilan dua buah telemovie oleh USANITA iaitu berjudul Poskad Cinta Dari Auckland dan Saling Tak Terlihat.
“Program BtB juga merupakan inisiatif berimpak tinggi oleh USANITA bagi memperkasa usahawan Malaysia, khususnya wanita dan golongan B40. Bagi fasa pertama dan kedua BtB yang meneroka peluang di Indonesia dilancarkan pada tahun 2022 dan 2023.
“Fasa ketiga BtB yang berlangsung di United Kingdom pada awal tahun ini pula melakar sejarah apabila USANITA menandatangani MoU bersama Said Business School, Universiti Oxford bagi penyediaan pendidikan eksekutif bertaraf dunia. Program BtN 4.0: Australasia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh agenda inklusif serantau sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran BtB 4.0: Australasia. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki.
Antara program dilaksanakan ialah pertunjukan fesyen warisan tradisional bersempena Hari Malaysia di Wellington, New Zealand pada September ini.
Selain itu, kempen ‘Taste of Malaysia’ akan turut dianjurkan bagi mempromosikan produk halal usahawan Malaysia manakala tayangan filem dan filem pendek hasil karya pelajar Malaysia pula dibuat sebagai manifestasi diplomasi budaya Malaysia yang progresif dan inklusif.
Sementara itu Mazita berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong penuh misi yang disifatkan sebagai sebuah platform dinamik yang memacu penyertaan wanita dalam ekonomi rentas sempadan.
Katanya, kerjasama strategik itu, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan sempena sambutan Hari Malaysia ke-62. Kolaborasi bersama USANITA itu juga diyakini mampu memperkukuh lagi citra Malaysia dalam platform serantau dan antarabangsa.
“Hubungan dua hala ini makin kukuh hasil lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada September 2024 yang membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi, kelestarian dan hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya. – UTUSAN