Beruang ditangkap kurang 12 jam perangkap dipasang di Kemaman - Utusan Malaysia

Beruang ditangkap kurang 12 jam perangkap dipasang di Kemaman

BERUANG matahari betina yang memasuki perangkapdipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara di Ladang Pelantoh Selatan, Kemaman, Terengganu, hari ini. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tindakan pantas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap beruang di Ladang Pelantoh Selatan, Kijal, di sini, membuahkan hasil apabila haiwan itu memasuki perangkap  kurang 12 jam selepas ia dipasang.

Seorang penduduk, Md. Fauzi Abdullah, 42, berkata, dia menghubungi Perhilitan kira-kira pukul 10 pagi semalam selepas mendapati seekor beruang matahari berkeliaran di belakang rumahnya.

“Pada awal pagi Isnin lalu, kira-kira pukul 12.30 malam, saya terdengar bunyi bising berhampiran pokok jering di belakang rumah. Saya suluh di atas pokok itu sebelum mendapati ada seekor beruang.

“Pagi semalam, saya menghubungi Perhilitan dan mereka datang melakukan siasatan dan terus memasang perangkap kira-kira pukul 4 petang. Alhamdulillah, kira-kira pukul 1 pagi tadi saya terdengar bunyi pagar perangkap tertutup kuat dan apabila diperiksa, beruang itu telah berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Md. Fauzi berkata, dia dan kira-kira 200 pekerja serta penduduk di ladang itu menarik nafas lega apabila haiwan itu berjaya ditangkap.

“Ini kali pertama beruang berkeliaran di kawasan rumah. Syukurlah gangguannya hanya sekejap. Kalau tidak, memang kami bimbang juga sebab ada anak kecil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang matahari betina yang dianggarkan seberat 40 kilogram itu mungkin keluar dari hutan simpan berhampiran untuk mencari makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN